Bayangkan anda pergi ke hospital dengan sakit perut yang teramat sangat dan berasa kembung selepas makan. Tapi, tak disangka, apa yang menyebabkan semua itu adalah seekor lipas hidup yang ‘bermain-main’ dalam usus kecil anda! Kisah luar biasa ini berlaku di New Delhi, India, di mana seorang lelaki berusia 23 tahun terkejut apabila mendapati seekor lipas sepanjang 3 sentimeter telah hidup dalam badannya.
Beberapa hari sebelum ke hospital, lelaki ini menikmati makanan jalanan di pasar malam. Namun, tiga hari selepas itu, dia mula rasa tak sedap badan. Dia mengadu perutnya sakit, hadapi kesukaran untuk mencerna makanan, dan perutnya kerap kembung. Bimbang dengan keadaan tersebut, dia pun ke Hospital Fortis, Vasal Kunj, untuk berjumpa doktor.
Menurut Dr. Shubham Vatsya, seorang pakar gastroenterologi di hospital itu, keputusan terbaik yang boleh mereka buat adalah melakukan Endoskopi Saluran GI Atas. Ini adalah prosedur di mana kamera kecil dimasukkan ke dalam sistem pencernaan untuk melihat apa yang berlaku dalam perut dan usus atas. Biasanya, prosedur ini dijalankan untuk mengenal pasti masalah-masalah seperti ulser atau keradangan, namun, penemuan kali ini memang di luar jangkaan. “Kami terkejut apabila melihat seekor lipas masih hidup dalam usus kecil pesakit itu. Kami sendiri hairan macam mana lipas itu boleh kekal hidup!” kata Dr. Vatsya.
Setelah menyedari kehadiran lipas hidup tersebut, pasukan doktor memutuskan untuk segera mengeluarkannya. Mereka menggunakan endoskopi khas yang mempunyai dua saluran – satu untuk menyedut udara dan satu lagi untuk menyedut air. Dengan kemahiran dan kepakaran mereka, doktor berjaya mengaktifkan butang sedut pada skop tersebut, lalu menyedut lipas itu keluar dari badan pesakit. Tindakan pantas ini berjaya menyelamatkan nyawa lelaki tersebut, kerana jika lipas itu tidak segera dikeluarkan, ia boleh menyebabkan komplikasi yang serius seperti penyakit berjangkit.
Bagaimana pula lipas ini boleh sampai ke usus lelaki ini? Menurut doktor, ada dua kemungkinan. Pertama, lipas itu mungkin telah merayap ke dalam tekaknya sewaktu lelaki ini sedang tidur, atau mungkin dia tidak sengaja tertelan serangga itu ketika sedang makan di pasar malam. Ini bukanlah kali pertama kes pelik seperti ini berlaku. Malah, bulan lalu, seorang lelaki di China juga mengalami masalah yang hampir sama apabila secara tidak sengaja menelan seekor lipas dan mula mengalami masalah mulut berbau selama tiga hari.
Kisah ini mungkin membuatkan ramai di antara kita berasa geli dan terkejut, tetapi ia juga menjadi peringatan penting agar lebih berhati-hati ketika makan, terutamanya apabila menikmati makanan jalanan. Jaga kebersihan dan pastikan tempat tidur sentiasa bebas dari serangga untuk mengelakkan kejadian yang tak diingini seperti ini.