Seorang lelaki berusia 31 tahun di China bernama Xiao Ma mendapat pujian ramai atas sikapnya yang sangat berbakti kepada ibunya. Demi menemani ibunya yang lumpuh, Xiao Ma mengambil keputusan drastik dengan menjual harta miliknya untuk membiayai perjalanan mereka menjelajah China, membawa ibunya ke merata tempat walaupun terpaksa menggendongnya seperti mana ibunya menggendongnya ketika kecil.
Ketika Xiao Ma berusia lapan tahun, sebuah kemalangan jalan raya meragut nyawa ayahnya dan menyebabkan ibunya lumpuh. Sejak dari usia yang muda, Xiao Ma dan kakaknya terpaksa menjaga ibu mereka yang tidak berdaya dan kemudian disahkan menghidap atrofi serebrum, kesan dari kecederaan dalam kemalangan itu. Walaupun masih kanak-kanak, Xiao Ma tidak pernah lelah. Dia bekerja di ladang memetik kapas, menjadi perantis dalam pelbagai bidang, dan akhirnya berjaya membuka restoran sendiri di Xinjiang. Namun, hasil pendapatan yang diperolehinya kebanyakannya digunakan untuk merawat ibunya.
Usahanya tidak sia-sia. Perlahan-lahan ibunya mula dapat keluar dari katil, menggunakan kerusi roda, malah boleh mengambil beberapa langkah kecil. Tetapi, keadaan kesihatan ibunya semakin merosot beberapa tahun kebelakangan ini kerana atrofi serebrum yang dihadapinya tidak dapat disembuhkan dan semakin teruk dari masa ke masa. Menyedari hakikat ini, Xiao Ma berazam untuk menggunakan waktu yang ada sebaik mungkin bersama ibunya.
Xiao Ma kemudian membuat keputusan nekad dengan menjual rumah dan keretanya supaya dia boleh membawa ibunya mengelilingi China. Memandangkan keadaan mental ibunya semakin merosot, Xiao Ma mahu memberikan kenangan indah sepanjang ibunya masih dapat menikmatinya. Mereka telah melawat Tianshan Mountain, Tasik Tianchi di Xinjiang, Dataran Tiananmen dan Tembok Besar China. Walaupun ibunya tidak lagi boleh bercakap, senyuman yang terukir setiap kali mereka berjalan bersama sudah cukup bagi Xiao Ma yang mahu melihat ibunya gembira.
“Kasih sayang tidak boleh ditunda, dan bakti kepada ibu bapa tidak harus dilewatkan. Tindakan adalah bukti terbaik,” kata Xiao Ma dalam satu temubual. “Ibu saya menggendong saya sewaktu kecil, dan sekarang saya menggendongnya pula.”
Foto-foto Xiao Ma yang menggendong ibunya di Dataran Tiananmen menjadi tular di media sosial China, dan mendapat pujian daripada jutaan rakyat di sana. Namun, hakikatnya Xiao Ma telah lama merakam dan berkongsi perjalanan mereka di platform Douyin (TikTok versi China), di mana sokongan dari peminatnya menjadi pendorong utama yang membolehkan dia terus berjalan-jalan bersama ibunya.
“Rumah saya di mana adanya ibu saya,” kata Xiao Ma apabila ditanya bila dia akan pulang ke rumah, sambil menambah bahawa dia tidak mahu menyesal apabila ibunya tiada kelak.
Kisah ini mengingatkan kita betapa pentingnya menghargai ibu bapa ketika masih bersama. Xiao Ma telah mengorbankan segala-galanya demi memastikan ibunya dapat menikmati hari-hari terakhirnya dengan penuh kasih sayang dan kebahagiaan.