Kisah Benar : Cinta Palsu Dan Hutang Menimpa

Megan Clark, seorang wanita berusia 27 tahun yang bekerja sebagai pengurus di sebuah bar di Isle of Wight, menganggap dirinya bertuah apabila bertemu dengan “Lord” Bertie Underwood. Bertie muncul sebagai seorang lelaki yang sangat menarik – sopan, baik hati, romantik, dan penuh perhatian. Dia mendakwa dirinya sebagai keturunan John T. Underwood, pemilik syarikat yang pernah menjual mesin taip terkenal, Underwood. Kehidupan Megan mula berubah, terutamanya apabila Bertie sering memberi hadiah mewah, menghantar bunga, dan membawa Megan keluar ke London dengan kereta Bentleynya.

Selepas sebulan berkenalan, Bertie mengajak Megan berpindah ke villa mewahnya di tepi pantai. Kemudian, hanya lima bulan selepas itu, dia melamar Megan untuk menjadi isterinya, dan Megan menerima dengan hati yang penuh cinta. Megan juga rela berhenti dari kerja di bar itu kerana Bertie tidak suka dia bergaul dengan ramai lelaki lain. Dia malah menyertai perniagaan Bertie yang katanya seorang pakar jam tangan (horologis). Megan mengorbankan kerjaya lamanya kerana yakin dan sayang kepada Bertie.

Namun, semakin lama, Megan mula menyedari ada banyak tanda-tanda yang mencurigakan. Hampir 18 bulan selepas mereka bersama, Megan mendapati surat untuk orang lain sampai di rumah mereka. Bertie berkata itu adalah surat yang mungkin untuk penghuni terdahulu. Namun, apabila Megan menjumpai dompet penuh dengan kad kredit atas nama-nama lain di pejabat Bertie, keraguannya semakin kuat. Megan mengambil keputusan untuk menyiasat dan mula mencari maklumat mengenai nama-nama tersebut di internet.

Alangkah terkejutnya Megan apabila mendapati semua nama itu adalah alias atau nama samaran seorang penipu terkenal bernama Robert Madejski. Dia juga mendapat tahu bahawa “Lord Bertie Underwood” ini bukan seorang yang berketurunan bangsawan ataupun pakar jam tangan. Rumah mewah serta kereta Bentley yang digunakan juga sebenarnya hanya disewa bagi menampakkan kemewahan yang palsu. Lebih menyedihkan lagi, Bertie telah menyebabkan Megan berhutang sebanyak £30,000 (lebih kurang RM180,000) melalui kad kredit yang dibuka atas namanya tanpa izin.

Dengan hati yang hancur, Megan segera membatalkan perkahwinan mereka hanya dua minggu sebelum hari yang dinanti-nantikan itu. Ketika dia cuba menjual cincin tunang yang diberikan oleh Bertie untuk melangsaikan hutangnya, dia lebih kecewa apabila mendapati cincin itu juga adalah palsu.

Megan menyedari betapa liciknya Bertie kerana dia mampu menipu tanpa meninggalkan sebarang petunjuk besar. “Dia pandai mencipta alasan kecil untuk menyokong pembohongan besarnya. Contohnya, dia berkata lantai rumah itu dipasangnya sendiri dari sebuah studio di London, sedangkan rumah itu bukan miliknya,” jelas Megan.

Selepas kisahnya dikongsikan di media sosial, ramai orang yang pernah ditipu oleh Robert Madejski turut menghubunginya. Apa yang mengejutkan Megan, penipuan Robert tidak tertumpu pada satu jenis atau kategori mangsa sahaja, malah ia merangkumi pelbagai latar belakang, umur, dan jantina. Ini meyakinkannya bahawa tiada rasa cinta sebenar dalam hubungan mereka.

Robert Madejski akhirnya ditangkap atas kesalahan lain, namun berjaya meloloskan diri dari penjara walaupun sedang menjalani hukuman lima tahun. Sehingga kini, Megan masih hidup dalam ketakutan dan trauma, bimbang bertemu dengan lelaki yang telah menghancurkan hidupnya.

Sumber


Post a Comment

Terima Kasih atas comment anda

Previous Post Next Post