Apabila mendengar tentang seni menggunakan kaca retak, mungkin sukar untuk membayangkan sesuatu yang indah. Tetapi bagi Niall Shukla, seorang seniman berbakat dari London, kaca retak adalah kanvas sempurna untuk menghasilkan potret yang terperinci dan menawan. Dengan menggunakan pelbagai jenis tukul besi dan pahat, Niall mencipta seni yang unik ini dengan memukul kaca laminasi, membentuk retakan yang akhirnya membentuk gambar yang jelas.
Seni kaca retak ini bukan hanya memerlukan bakat tetapi juga kesabaran yang tinggi dan tangan yang sangat berhati-hati. Satu hentakan yang terlalu kuat atau di tempat yang salah boleh menyebabkan retakan besar yang akan merosakkan keseluruhan karya, memaksa Niall untuk memulakan semula dari awal. Ini bermaksud dia mungkin perlu melalui beberapa keping kaca sebelum akhirnya menghasilkan imej yang sempurna. “Setiap hentakan perlu dirancang dengan teliti, baik dari segi lokasi mahupun kekuatan,” jelas Niall dalam satu temubual bersama Museum Weekly Magazine. “Tetapi tak semua percubaan berjaya — jika ada satu hentakan yang salah, saya mungkin perlu mulakan dengan kepingan kaca yang baharu.”
Uniknya, Niall tidak memulakan kariernya sebagai seorang seniman kaca retak. Beliau sebenarnya seorang penulis dan pengarah filem, tetapi mula membuat seni fizikal sebagai cara untuk melepaskan diri dari tekanan kerjanya. Tidak disangka-sangka, satu hari Niall berkongsi salah satu hasil karyanya di media sosial, dan ia terus mendapat lebih 4 juta tontonan dalam masa empat hari. Dalam setahun, dia berjaya memperoleh lebih 100,000 pengikut di pelbagai platform media sosial dan menempah nama sebagai seorang seniman kaca retak.
Biarpun kaca retak pada dasarnya kelihatan rawak kerana susunan retakan yang sukar dikawal sepenuhnya, Niall meluangkan banyak masa untuk merancang dan mencari cara menghasilkan karya seni tertentu. Menurutnya, “Kaca retak ini sangat monochrome, jadi sangat susah untuk buat ‘shading’ atau bayang-bayang.” Tambahnya lagi, kadang-kadang beliau mempunyai imej atau konsep tertentu dalam fikiran, tetapi sukar untuk disampaikan dengan tepat. Oleh sebab itu, beliau sering mengubah perancangan untuk menyesuaikan diri dengan hasil retakan kaca yang terbentuk. Selain itu, banyak percubaan dan kesilapan terlibat di mana beliau perlu memecahkan kaca berulang kali sehingga akhirnya dapat karya yang diingini.
Kini, Niall Shukla telah mendapat pengiktirafan sebagai antara seniman kaca retak terbaik di dunia, sebaris dengan nama besar lain seperti Simon Berger dan Natnael Mekuria. Karya seni kaca retaknya bukan sahaja memukau mata, malah mencabar konsep tradisional seni. Apa yang kelihatan seperti satu siri hentakan rawak sebenarnya adalah hasil perancangan yang sangat teliti dan usaha yang gigih, di mana setiap hentakan membawa maksud dan peranan tersendiri dalam membentuk potret yang jelas dan penuh makna.
Melalui usaha gigih dan inovasi, Niall Shukla telah membuktikan bahawa seni boleh muncul dari mana-mana medium, walaupun daripada kaca yang retak.