Beras merupakan salah satu makanan paling penting di dunia. Ia murah, berkhasiat, dan menjadi makanan ruji di banyak negara. Tetapi, pernahkah anda dengar tentang beras paling mahal di dunia? Itulah Kinmemai Premium, beras yang dihasilkan oleh Toyo Rice Corporation di Jepun. Beras ini mencatat rekod dunia Guinness sebagai beras paling mahal dengan harga sekitar RM506 (USD109) untuk setiap kilogram!
Apa yang Menjadikan Kinmemai Premium Istimewa?
Kinmemai Premium bukanlah beras biasa. Ia dihasilkan daripada lima jenis varieti beras terbaik Jepun seperti Koshihikari dan Pikamaru, yang dipilih dengan teliti oleh pakar dari Toyo Corporation. Proses pemilihan ini sangat ketat, di mana petani dibayar sehingga lapan kali ganda lebih tinggi untuk memastikan hanya butir-butir beras terbaik yang diambil.
Menariknya, beras ini tidak perlu dicuci sebelum dimasak kerana ia telah melalui proses pengilapan khas yang dicipta oleh Toyo Rice Corporation lebih 17 tahun lalu. Proses ini menanggalkan lapisan lilin yang tidak boleh dimakan, tetapi mengekalkan khasiat dalam setiap butir beras.
Khasiat Luar Biasa
Apa yang membuatkan Kinmemai Premium ini begitu istimewa bukan hanya pada rasa, tetapi juga pada khasiatnya. Beras ini mempunyai 6 kali lebih banyak lipopolisakarida (LPS) – sejenis bahan yang membantu meningkatkan sistem imun tubuh. Selain itu, ia juga mengandungi 1.8 kali lebih banyak serat dan 7 kali lebih banyak vitamin B1 berbanding beras biasa.
Beras ini juga mempunyai rasa manis dan aroma yang unik, dengan tekstur yang lembut dan rasa kacang-kacangan yang menyelerakan. Malah, butiran berasnya yang halus seakan-akan menyerupai berlian kecil, menjadikannya bukan sahaja enak tetapi juga cantik dipandang.
Beras untuk Hidangan Istimewa
Walaupun Kinmemai Premium mempunyai rasa yang luar biasa, ia bukanlah beras yang sesuai untuk semua jenis hidangan. Misalnya, beras ini tidak sesuai untuk sushi kerana ia kekurangan kanji yang diperlukan untuk membuat nasi sushi melekit. Sebaliknya, beras ini sangat sesuai untuk hidangan Jepun yang ringkas seperti Ochazuke (beras dengan teh hijau) dan Tamago Kake Gohan (nasi dengan telur mentah).
Harga dan Ketersediaan
Beras Kinmemai Premium asalnya hanya dijual di Jepun, tetapi kini ia sudah boleh didapati di pasaran Singapura. Namun, harganya tidaklah murah. Pada asalnya, harga beras ini sekitar RM506 untuk satu kilogram, tetapi disebabkan inflasi, harga ini telah meningkat sehingga RM557 (USD120) bagi setiap 140 gram.
Jika anda mencari pengalaman makan beras yang unik dan ingin mencuba beras terbaik di dunia, Kinmemai Premium adalah pilihan yang tepat. Dengan khasiat yang luar biasa dan rasa yang unik, tidak hairanlah mengapa beras ini menjadi pilihan ramai walaupun dengan harganya yang tinggi. Namun, bagi kebanyakan kita, mungkin beras biasa sudah memadai, tetapi tidak salah sekali-sekala menikmati sesuatu yang luar biasa, bukan?