Pelik Tapi Benar : Wanita Didakwa Menyerang Jiran dengan Pistol Air Secara Tidak Sengaja

Seorang wanita berusia 58 tahun dari Ontario kini berdepan tuduhan serangan dengan senjata selepas didakwa secara tidak sengaja menyembur jirannya dengan pistol air ketika bermain dengan kanak-kanak. Kejadian ini berlaku pada 1 September lalu ketika Wendy Washik, seorang pembantu pendidikan dari Simcoe, Ontario, sedang menikmati barbeku di halaman belakang bersama kanak-kanak.


Menurut Wendy, ketika dia bermain dengan pistol air, dia tanpa sengaja menyembur jirannya yang sedang memotong rumput di dada. Wendy mendakwa dia terus meminta maaf selepas kejadian, namun jirannya tidak dapat menahan kemarahan dan terus menjerit ke arahnya. Lelaki tersebut kemudian masuk ke rumah dan menelefon pihak polis, mendakwa dia telah "diserang secara fizikal."

Pihak polis dari Ontario Provincial Police (OPP) tiba di lokasi dan mendapati terdapat pertikaian antara dua individu, di mana salah seorang telah menjadi mangsa serangan fizikal. Wendy memberitahu media bahawa pihak polis tidak bertanya apa-apa soalan kepadanya sebelum membuat keputusan untuk mendakwanya. Mereka juga tidak meminta untuk melihat pistol air yang digunakan dalam kejadian tersebut.

"Mereka tak tanya saya satu soalan pun," kata Wendy. "Mereka tak minta tengok pistol air tu. Langsung tak tanya apa-apa... Suami saya pun terkejut."

Apabila ditanya oleh wartawan tempatan sama ada "senjata" yang digunakan adalah pistol air, jurucakap OPP menjawab bahawa adalah "tidak wajar" untuk mengulas tentang butiran kes itu. Namun, Wendy tetap dengan pendiriannya bahawa dia hanya bermain dengan pistol air kanak-kanak yang panjangnya tidak lebih daripada panjang lengan.

Kejadian ini telah memberikan kesan besar kepada Wendy dan keluarganya. Sebagai seorang pembantu pendidikan di Brant Haldimand Norfolk Catholic District School Board, Wendy tidak dapat kembali bekerja sehingga kes ini selesai. Walaupun dia faham dengan situasi ini, Wendy tidak dapat menyembunyikan rasa kecewanya.

"Setiap hari adalah cabaran. Susah nak lupakan kejadian ni," kata Wendy kepada CTV News. "Saya risaukan keputusan akhir kes ni dan apa yang akan berlaku."

Keluarga Wendy sedang berusaha untuk mengumpul dana bagi menampung kos guaman kerana dia dijadualkan hadir ke mahkamah pada 24 September. Namun, usaha mereka menjadi sukar disebabkan oleh tuduhan jenayah yang dikenakan terhadapnya. Sebagai contoh, laman GoFundMe yang telah berjaya mengumpul lebih $12,000 (kira-kira RM56,000) telah ditutup kerana platform tersebut tidak membenarkan pengumpulan dana untuk kes jenayah.

Kini, keluarganya sedang mencuba alternatif lain kerana mereka tidak tahu berapa lama lagi kes ini akan berlanjutan dan berapa banyak lagi kos yang akan terlibat dalam proses perundangan tersebut.

Sumber


Post a Comment

Terima Kasih atas comment anda

Previous Post Next Post