Nenek 84 Tahun Berjaya Selamatkan Diri Dengan Memukul Kepala Buaya

Seorang wanita berusia 84 tahun di Florida berjaya menyelamatkan nyawanya sendiri selepas memukul muka seekor buaya yang agresif. Kejadian berlaku di North Fort Myers ketika Dolores Boppel, 84, sedang berjalan bersama anjing kesayangannya pada waktu petang, Khamis lepas. 

Dolores yang membawa anjingnya, seekor Shih Tzu, tidak menyangka akan bertembung dengan seekor buaya yang tiba-tiba muncul. Sebaik saja buaya tersebut mula meluru ke arah mereka, Dolores segera mengangkat dan melemparkan anjingnya ke udara untuk menyelamatkannya. Walaupun berjaya menyelamatkan anjingnya, Dolores sempat digigit oleh buaya itu di bahagian kaki dan jari. Namun, dengan berani, Dolores bertindak memukul muka buaya tersebut, menyebabkan haiwan itu berundur dan lari. 

Menurut laporan tempatan dari WBBH, pasukan penyelamat dari Pejabat Sheriff Lee County turut berkongsi rakaman kamera badan mengenai keadaan selepas serangan itu berlaku. Seorang saksi yang melihat kejadian memberitahu, “Dia sedang berjalan bersama anjingnya, dan tiba-tiba buaya itu berlari dengan laju ke arahnya. Dia terus melemparkan anjingnya untuk menyelamatkan haiwan itu.”

Baca ini :

Buaya Yang Terbesar Di Dunia (14 Gambar)

Wanita Hilang Ditemui Di Perut Ular Sawa Gergasi

10 Gambar Ular Paling Panjang Di Dunia

Seorang lagi saksi menyatakan dia terdengar jeritan Dolores dan terus berlari untuk membantu. “Saya sedang membuka tingkap untuk keluarkan panas, kemudian terdengar orang menjerit berkali-kali. Saya berlari ke pintu gelongsor dan nampak dia merangkak keluar sambil melambaikan tangan,” katanya. Saksi itu juga memeriksa anjing Dolores yang berdarah, namun percaya darah itu sebenarnya adalah darah tuannya sendiri.

Dalam rakaman yang dikongsi, Dolores dilihat berada dalam keadaan sedar dan semangatnya masih kuat walaupun cedera. Semasa paramedik merawatnya, Dolores sempat berseloroh, “Tuhan berkati kamu, taman ini patut bayar ganti rugi untuk buaya ini.”

Dolores menceritakan kepada WBBH bahawa ketika berjalan di sekitar kolam berhampiran taman perumahan mudah alihnya, dia tiba-tiba rasa tak sedap hati. "Tiba-tiba saya dapat firasat, macam ada sesuatu yang tak kena," katanya. “Buaya itu seperti torpedo, saya tak pernah nampak sesuatu bergerak begitu laju dalam hidup saya.”

Selepas kejadian itu, Dolores menyatakan bahawa dia sangat teruja untuk kembali bertemu dengan anjingnya, Queen, yang selamat dalam kejadian tersebut, sebaik sahaja dia dibenarkan keluar dari hospital. Buaya yang menyerangnya dikenal pasti oleh Suruhanjaya Pemuliharaan Ikan dan Hidupan Liar Florida (FWC) sebagai seekor buaya sepanjang 7 kaki 3 inci. 

FWC juga mengesahkan bahawa pasukan mereka, bersama Pejabat Sheriff Lee County dan pasukan perubatan kecemasan Lee County, bertindak balas dengan cepat di tempat kejadian. Seorang penangkap buaya yang diupah berjaya mengeluarkan buaya tersebut dari kawasan itu. Dolores kemudiannya dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.

FWC menambah bahawa insiden buaya menyerang manusia adalah jarang berlaku di Florida. Mereka turut menasihatkan penduduk tempatan supaya sentiasa berjaga-jaga dan mengambil langkah-langkah keselamatan seperti memastikan haiwan peliharaan dijauhkan daripada kawasan air dan hanya berenang di kawasan yang ditetapkan pada waktu siang.

Sumber

Post a Comment

Terima Kasih atas comment anda

Previous Post Next Post