Syarikat Pembinaan Tertua Di Dunia

Pernahkah anda mendengar tentang Kongo Gumi? Syarikat pembinaan ini diasaskan pada tahun 578 dan diiktiraf sebagai syarikat tertua di dunia yang masih beroperasi sehingga hari ini. Di sebalik dunia perniagaan yang sering menyaksikan syarikat bangkit dan jatuh dalam masa yang singkat, Kongo Gumi berjaya bertahan lebih dari seribu tahun!


Kongo Gumi bermula dengan misi besar - membina kuil Buddha pertama di Jepun, Shitennō-ji di Osaka. Pada masa itu, agama Buddha baru sahaja mula berkembang di Jepun. Namun, Jepun tidak mempunyai tukang yang mahir dalam seni bina kuil Buddha. Maka, seorang tukang kayu dari Baekje, sebuah kerajaan di Korea, bernama Kongō Shikō, dipanggil untuk memimpin pembinaan kuil tersebut. Kejayaan besar ini menjadi asas kukuh kepada Kongo Gumi untuk terus berkembang dalam bidang pembinaan dan pemulihan kuil-kuil serta tempat suci di Jepun selama berabad-abad.

Dalam tempoh 1,446 tahun, syarikat ini telah diterajui oleh 40 generasi keturunan keluarga Kongo. Namun, keluarga ini sentiasa memastikan bahawa kepentingan syarikat lebih diutamakan daripada tradisi keluarga. Jika pemimpin yang dilantik tidak menunjukkan kemampuan yang diperlukan, mereka tidak teragak-agak untuk menggantikannya demi kelangsungan perniagaan.

Kongo Gumi bukan tanpa cabaran. Dari kemelesetan ekonomi di era Showa pada tahun 1920-an hingga kejatuhan permintaan pembinaan bangunan agama selepas Perang Dunia Kedua, syarikat ini menghadapi pelbagai dugaan. Malangnya, pada tahun 2006, selepas menghadapi masalah hutang yang besar, Kongo Gumi terpaksa bergabung dengan Takamatsu Construction Group. Walaupun kini ia hanya sebuah anak syarikat, sejarah panjang dan pencapaian Kongo Gumi masih menjadi inspirasi kepada banyak pihak di Jepun.

Sumber


Post a Comment

Terima Kasih atas comment anda

Previous Post Next Post