Bayangkan hidup dengan perbelanjaan harian hanya RM6 sehari! Itulah yang dilakukan oleh Saki Tamogami, seorang ejen hartanah berusia 37 tahun dari Jepun, yang terkenal sebagai wanita paling jimat di negaranya. Sejak 15 tahun lalu, Saki berpegang pada prinsip “Jangan beli apa-apa kecuali ada diskaun!” dan ia telah membantu beliau mencapai impiannya untuk memiliki tiga buah rumah, walaupun dengan gaya hidup yang luar biasa jimat.
Semuanya bermula ketika Saki berumur 19 tahun, apabila dia menetapkan matlamat untuk membeli rumah sendiri. Langkah pertama yang dia ambil adalah berhenti membeli pakaian baru, sebaliknya hanya memakai pakaian yang diberikan oleh ahli keluarga dan kawan-kawan. Dia juga mula menjaga pakaian yang ada dengan lebih baik supaya tahan lebih lama.
Dalam bab makanan pula, Saki memang betul-betul jimat. Dia sering makan makanan yang murah seperti mi udon, roti bakar, dan lobak putih yang dibeli dengan harga diskaun. Dalam masa 8 tahun, dia berjaya membeli rumah pertamanya, dan pada tahun 2019, dia sudah mencapai matlamatnya untuk memiliki tiga buah rumah.
Pada tahun yang sama, Saki Tamogami muncul dalam rancangan televisyen Jepun Happy! Bomby Girl, di mana dia mengejutkan seluruh Jepun dengan cara hidup jimat yang ekstrem. Dia mendedahkan bahawa dia hanya memperuntukkan 200 yen (kira-kira RM6) sehari untuk makanan. Untuk mematuhi bajet tersebut, dia hanya menggunakan bahan-bahan makanan murah, memasak di rumah, dan kadang-kadang makan terus dari periuk untuk mengelakkan membasuh pinggan.
Saki juga mencari jalan untuk menjimatkan perbelanjaan kecantikan. Dia tidak membeli alat solek atau pergi ke salun rambut, sebaliknya menjual rambutnya apabila sudah panjang dengan harga sekitar 3,100 yen (kira-kira RM95). Dengan hasil jualan rambut tersebut, dia boleh menampung perbelanjaan makanan selama setengah bulan.
Ketika berumur 27 tahun, Saki berjaya membeli rumah pertamanya di Saitama, di utara Tokyo, dengan harga 10 juta yen (sekitar RM320,000). Dia segera menyewakan rumah itu dan menggunakan duit sewa untuk membayar pinjaman bank. Selepas beberapa tahun, dia membeli rumah kedua dengan harga 18 juta yen (RM570,000), dan lima tahun lalu, dia mencapai impiannya untuk memiliki tiga buah rumah apabila berjaya membeli rumah ketiganya yang bernilai 37 juta yen (RM1.2 juta).
Baca Ini :
10 Gambar Hotel Paling Pelik Dan Menarik Di Dunia
7 Gambar Bergaya Dengan Baju Berharga RM1
Kisah Inspirasi : Harga Beg Tangan Wanita RM1,947.73
Walaupun sudah mencapai matlamat memiliki tiga buah rumah, Saki masih mengamalkan kehidupan berjimat-cermat. Wang yang dia jimatkan kini digunakan untuk membantu kucing-kucing jalanan yang diselamatkannya. Dia juga telah membuka sebuah kafe kucing di salah satu rumahnya dan merancang untuk melabur dalam hartanah lain di masa hadapan.
Kisah Saki Tamogami telah menerima pelbagai reaksi daripada masyarakat. Ada yang memuji semangatnya, namun ada juga yang bimbang bahawa dia mungkin merisikokan kesihatannya dengan makan makanan yang murah dan mengabaikan keperluan harian hanya untuk mengejar matlamat kewangan.