China memang terkenal dengan monumen-monumen besar yang menggambarkan kehebatan sejarah dan budaya mereka. Salah satu monumen yang menarik perhatian dunia ialah patung gergasi Guan Yu, dewa perang yang dihormati dalam sejarah Cina. Pada tahun 2016, patung ini telah siap dibina di bandar Jingzhou, dengan ketinggian yang mengagumkan, iaitu 190 kaki, dan beratnya mencecah 1,200 tan. Namun, apa yang sepatutnya menjadi simbol kegagahan ini akhirnya bertukar menjadi satu kontroversi.
Apa itu Monumen? ia merujuk kepada struktur atau binaan yang didirikan untuk memperingati seseorang, peristiwa, atau sejarah penting. Monumen biasanya dibina sebagai simbol penghargaan atau penghormatan kepada sesuatu yang dianggap berharga oleh masyarakat atau negara.
Monumen boleh mengambil pelbagai bentuk seperti patung, tugu, bangunan, atau struktur arca. Ia sering menjadi tempat lawatan atau ziarah bagi mereka yang ingin mengenang atau belajar tentang sejarah yang berkaitan dengan monumen tersebut.
Berbalik mengenai patung gergasi tadi, pada awalnya, patung ini dibina sebagai lambang penghormatan kepada Guan Yu, tokoh bersejarah yang terkenal dengan kesetiaan dan keberaniannya. Dibina dengan kos yang besar, patung ini menonjolkan seni bina yang mengagumkan dan keperibadian yang kuat. Namun, tidak semua penduduk setempat kagum dengan kehadiran patung ini. Ramai yang menganggapnya sebagai 'eyesore' atau sesuatu yang merosakkan pemandangan bandar yang sepatutnya tenang dan harmoni.
Selain itu, terdapat masalah teknikal yang lebih serius – tanah di bawah patung tersebut mula tenggelam. Dengan berat yang begitu besar, kawasan tersebut tidak mampu menampung patung gergasi ini untuk jangka masa yang panjang. Ini menyebabkan kebimbangan akan keselamatan penduduk dan struktur bangunan di sekitarnya.
Akhirnya, selepas menerima banyak aduan dan mempertimbangkan faktor keselamatan, pihak berkuasa mengambil langkah drastik untuk membongkar patung tersebut. Proses pembongkaran ini memerlukan kos yang tidak kecil, iaitu mencecah $24 juta, hampir sama dengan kos pembinaan asalnya. Pembongkaran ini menjadi satu episod yang mengingatkan kita bahawa setiap projek besar memerlukan perancangan teliti, bukan sahaja dari segi seni bina tetapi juga bagaimana ia akan diterima oleh masyarakat dan kesannya terhadap alam sekitar.