Seorang wanita di Brazil terkejut apabila mendapati sehelai kain besar tertinggal dalam badannya selepas menjalani pembedahan dua tahun yang lalu. Maria Luciene Vidal, 58 tahun, telah didiagnos dengan kanser kolon pada tahun 2022. Kanser tersebut sudah berada pada tahap yang kritikal, jadi doktor memutuskan untuk melakukan pembedahan dengan segera. Selepas pembedahan, Maria perlu menggunakan beg kolostomi dan menghabiskan masa yang panjang di ICU.
Apa Itu Kanser Kolon?
Kanser kolon adalah sejenis kanser yang bermula di usus besar atau kolon, yang merupakan bahagian terakhir dalam sistem pencernaan kita. Ia berlaku apabila sel-sel dalam kolon mula tumbuh secara tidak terkawal dan membentuk tumor. Jika tidak dirawat, kanser ini boleh merebak ke bahagian tubuh yang lain.
Beberapa gejala kanser kolon termasuk perubahan dalam tabiat membuang air besar (seperti sembelit atau cirit-birit yang berterusan), pendarahan pada najis, sakit perut atau kekejangan, penurunan berat badan yang tidak dijelaskan, dan rasa lemah atau letih.
Penting untuk menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala, terutama bagi mereka yang berusia 50 tahun ke atas atau yang mempunyai sejarah keluarga dengan kanser kolon, kerana kanser ini lebih mudah dirawat jika dikesan awal.
Berbalik kisah Maria, Maria yang tinggal di Cubatão, berhampiran São Paulo, kemudian menjalani sesi kemoterapi dan memulakan proses pemulihan. Anak perempuannya, Stefany Vidal, 24 tahun, berkata, “Dia kembali naik berat badan dan kelihatan sihat.”
Namun, pada bulan November 2023, simptom Maria kembali muncul. Dia mula kehilangan berat badan dan mengalami sakit perut, simptom yang sama seperti ketika dia didiagnos dua tahun lepas. Tetapi, keputusan ujian tidak menunjukkan bahawa kansernya kembali.
Pada 22 Julai, keluarga Maria mendapati ada bahan yang luar biasa dalam beg kolostominya dan segera mendapatkan bantuan perubatan. Stefany berkata, “Doktor melihatnya dan merasa pelik, jadi dia mula menarik bahan tersebut. Dia kemudian menyedari bahawa ia adalah kain dan memanggil penyelianya. Mereka menarik sekitar 10cm kain dari badan ibu saya pada kali pertama sebelum mengeluarkan lagi 10cm.”
Pasukan perubatan di Hospital Beneficência Portuguesa de Santos kini sedang menilai sama ada Maria perlu menjalani pembedahan lain. Stefany berkata, “Rasa pertama saya adalah marah kerana sesiapa yang mempunyai saudara yang melawan kanser tahu betapa sukarnya. Kami sangka kansernya kembali. Mengetahui bahawa ia adalah kain yang tertinggal dalam badannya benar-benar membuat saya marah.”
Keluarga mereka merancang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Hospital Municipal de Cubatão di mana Maria menjalani pembedahan dua tahun lalu. Stefany menjelaskan, “Kami mahu mendapatkan rekod perubatan dari hospital tersebut supaya kami mempunyai segala yang diperlukan untuk pertempuran akan datang. Tetapi buat masa ini, apa yang saya mahu hanyalah ibu keluar dari hospital dan sihat.”
Dalam satu kenyataan, Hospital Municipal de Cubatão berkata mereka kesal dengan insiden tersebut dan berjanji akan memberikan segala bantuan yang diperlukan kepada pesakit dan keluarganya. Pengarah hospital dan pakar bedah yang bertanggungjawab telah meletak jawatan selepas pembedahan pada 29 Julai 2022. Mereka juga menambah bahawa sejak Mac 2023, Jabatan Perkhidmatan Sosial (SBCD) telah melaksanakan beberapa protokol keselamatan dan menyediakan kursus latihan profesional untuk seluruh pasukan penjagaan kesihatan.