Pemuda OKU Didakwa Diperdaya Untuk Buat Pembedahan Payudara

Sebuah klinik kecantikan di Wuhan telah mencetuskan kontroversi apabila didakwa memperdaya seorang pemuda berusia 19 tahun yang kurang upaya untuk menjalani pembedahan payudara. Lebih mengejutkan, klinik tersebut didakwa memujuk pemuda itu dengan janji bahawa dia boleh menjana wang melalui penstriman (live-streamers) langsung selepas pembedahan.

Pemuda malang ini, yang menurut ibunya memiliki tahap pemikiran seperti kanak-kanak berusia 5 tahun, pada awalnya memohon kerja di klinik tersebut. Klinik itu menawarkan penginapan penuh dan gaji bulanan sebanyak 3,000 yuan (sekitar RM1,800). Namun, ketika dia bertanya tentang peluang pekerjaan untuk lelaki, dia diberitahu bahawa dia perlu menjalani pembedahan pembesaran payudara terlebih dahulu sebelum boleh mula bekerja.

Dalam mesej yang didedahkan oleh ibu pemuda tersebut, kakitangan klinik mendakwa bahawa pembedahan payudara juga sesuai untuk lelaki, malah menyatakan bahawa ramai penstrim langsung (live-streamers) popular telah menjalani prosedur ini untuk menjana pendapatan. Pada mulanya, pemuda tersebut ragu-ragu, namun akhirnya dia bersetuju untuk melakukan pembedahan dan sanggup membayarnya sendiri.

Apa yang lebih menyedihkan, tanpa pengetahuan ibunya, pemuda tersebut telah mengambil pinjaman sebanyak 30,000 yuan (lebih kurang RM18,000) dan kemudian pinjaman tambahan sebanyak 7,000 yuan (sekitar RM4,000) untuk membayar kos pembedahan tersebut. Klinik itu turut didakwa mencadangkan agar dia membuat pinjaman dan mendakwa bahawa dia akan mendapat balik pelaburannya melalui penstriman langsung.

Menurut ibu pemuda itu, pembedahan tersebut telah menyebabkan dada anaknya membesar kepada saiz B-cup dan terdapat dua parut panjang di bawah payudaranya. "Melihat parut itu benar-benar menghancurkan hati saya," kata ibunya sambil menambah bahawa selepas rundingan berulang kali, klinik akhirnya bersetuju untuk membuang implan tersebut, namun ini hanya menambahkan lagi trauma anaknya.

Ibunya kini berusaha mendapatkan keadilan dan mahu klinik tersebut bertanggungjawab. Beliau juga telah berkongsi bukti perubatan yang menunjukkan bahawa anaknya mengalami gangguan mental serta masalah kemurungan, kebimbangan, dan kesukaran tidur akibat pembedahan yang tidak diingini itu.

Kes ini telah menimbulkan kemarahan ramai di media sosial China, dengan ramai yang mengecam tindakan tidak beretika klinik kecantikan yang sanggup memperdaya orang awam demi keuntungan. Seorang peguam, Hu Junjie, menyatakan bahawa jika seseorang itu tidak berupaya dari segi mental, penjaga atau ibu bapa mereka harus menandatangani persetujuan untuk sebarang prosedur perubatan. Beliau turut menegaskan bahawa wang pemuda tersebut perlu dikembalikan dan pampasan harus diberikan jika berlaku sebarang kecederaan atau kerosakan.

Sumber


Post a Comment

Terima Kasih atas comment anda

Previous Post Next Post