Jenayah Di Usia Senja :Tiga Atuk Menjadi Perompak Berbahaya

Baru-baru ini, polis Jepun menahan satu kumpulan penjenayah yang agak luar biasa. Tiga orang datuk dalam lingkungan umur lewat enam puluhan hingga lapan puluhan telah dituduh memecah masuk ke sekurang-kurangnya dua rumah dan disyaki terlibat dalam sepuluh kes pecah rumah yang lain. Hideo Umino, 88, Hidemi Matsuda, 70, dan Kenichi Watanabe, 69, didakwa bertemu di dalam penjara dan memutuskan untuk bekerjasama selepas dibebaskan untuk melakukan jenayah dengan lebih efisien.

Kumpulan trio ini diberi gelaran "G3S" oleh polis, yang bermaksud ‘grandpas’ dalam bahasa Jepun. Mereka didakwa memecah masuk ke sebuah rumah kosong di Sapporo, bandar utama di pulau Hokkaido pada bulan Mei dan mencuri 200 yen (kira-kira RM6) dan tiga botol whisky yang bernilai kira-kira 10,000 yen (kira-kira RM300). Bulan berikutnya, mereka didakwa merompak rumah kosong yang lain dan mencuri barang kemas bernilai kira-kira satu juta yen (kira-kira RM30,000). Polis kini sedang menyiasat penglibatan kumpulan ini dalam sepuluh kes pecah rumah yang lain di bandar Sapporo dan Ebetsu.

Pada usia di mana kebanyakan orang sibuk menikmati persaraan atau menjaga kesihatan, G3S didakwa sedang merancang rompakan. Menurut kenyataan polis, tiga bekas banduan ini telah merancang untuk bekerjasama semasa di dalam penjara dengan menetapkan peranan yang jelas dan tepat untuk setiap ahli. Hideo Umino, 88 tahun, yang bertanggungjawab melakukan pecah rumah, manakala Matsuda menjadi pemandu melarikan diri, dan Watanabe bertanggungjawab menjual barang curian.

Polis memulakan siasatan selepas pemilik salah satu rumah yang dirompak melaporkan tentang barang yang dicuri. Selepas meneliti rakaman CCTV dan mengesan barang yang dicuri, mereka terkejut apabila mendapati bahawa jenayah tersebut dilakukan oleh tiga orang tua yang dilaporkan perlu disokong secara fizikal oleh pegawai polis semasa ditahan. Apabila disoal tentang jenayah mereka, ketiga-tiga penjenayah tua ini berkata mereka melakukannya "untuk mencari nafkah".

Walaupun pencuri dalam lingkungan umur 70-an dan 80-an mungkin bukan kebiasaan, dengan masyarakat Jepun yang semakin tua pada kadar yang sangat cepat, tidak hairanlah kadar jenayah di kalangan warga tua di negara ini semakin meningkat dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Sumber


Post a Comment

Terima Kasih atas comment anda

Previous Post Next Post