Pada 14 Julai yang lalu, dunia mukbang dikejutkan dengan kematian Pan Xiaoting, seorang streamer mukbang berusia 24 tahun dari China. Mukbang, yang melibatkan makan dalam kuantiti besar untuk hiburan penonton, telah lama menjadi kontroversi di China.
Apa itu Mukbang?
Mukbang adalah fenomena siaran langsung atau video di mana seseorang makan dalam kuantiti yang besar sambil berinteraksi dengan penonton. Istilah "mukbang" berasal dari gabungan dua perkataan Korea: "muk-ja" (makan) dan "bang-song" (siaran). Fenomena ini bermula di Korea Selatan pada akhir 2000-an dan cepat menjadi popular di seluruh dunia, termasuk di negara-negara seperti China dan Jepun.
Dalam sesi mukbang, streamer atau penyiar biasanya makan pelbagai jenis makanan yang menarik dan sering kali dalam kuantiti yang sangat besar. Mereka juga berinteraksi dengan penonton melalui komen secara langsung, menjawab soalan, dan berkongsi pengalaman mereka. Tujuan utama mukbang adalah untuk memberikan hiburan kepada penonton, yang menikmati seseorang yang makan dengan rakus sambil berkongsi suasana makan bersama-sama secara maya.
Ok, berbalik kisah tragis streamer ini, pada tahun 2020, China memperkenalkan tindakan keras terhadap video mukbang bagi mengurangkan pembaziran makanan, dengan pesalah berdepan denda sehingga 10,000 yuan (RM6,445.11). Namun, siaran mukbang tetap popular, dengan ribuan orang mempertaruhkan nyawa mereka demi tontonan.
Pan Xiaoting memulakan kerjayanya sebagai pelayan sebelum terjun ke dunia mukbang. Setelah melihat kejayaan streamer mukbang lain yang meraih pendapatan lumayan dan dihujani hadiah oleh peminat, Pan memutuskan untuk mencuba nasib. Namun, permulaannya tidak mudah. Pan terpaksa bersaing dalam niche yang sangat kompetitif dan hanya berjaya menarik perhatian penonton setelah meningkatkan jumlah makanan yang dimakannya.
Pada mulanya, mukbang hanyalah sampingan bagi Pan. Namun, apabila bilangan penontonnya meningkat, dia melihat peluang untuk menjadikan mukbang sebagai kerjaya. Pan berhenti dari pekerjaannya dan menyewa sebuah rumah yang dijadikan studio untuk siaran mukbangnya. Namun, ibu bapanya tidak menyokong kerjaya barunya kerana bimbang tentang kesihatannya.
Semakin ramai yang menonton siaran mukbang Pan, semakin dia mengabaikan kesejahteraannya. Dia sering mencipta cabaran ekstrem yang menarik penonton tetapi merosakkan tubuhnya. Ibu bapanya sering memberi amaran tentang bahaya makan berlebihan, begitu juga dengan penontonnya yang risau dia mungkin sedang menuju ke kematian awal. Namun, Pan selalu membalas dengan senyuman dan berkata, “Jangan risau, saya boleh handle.”
Selama kerjayanya, berat badan Pan meningkat sehingga sekitar 300 kilogram. Dia tidak mengambil berat tentang berat badannya dan terus makan dengan rakus. Pada satu ketika, Pan dimasukkan ke hospital dan didiagnosis dengan pendarahan gastrik akibat makan berlebihan. Selepas menerima rawatan, Pan kembali ke siaran mukbangnya.
Untuk terus menarik perhatian penonton, Pan mencipta cabaran ekstrem, seperti makan tanpa henti selama sekurang-kurangnya 10 jam sehari atau memakan lebih dari 10 kilogram makanan setiap sesi. Malangnya, tubuhnya tidak dapat menampung rutin makannya dan pada 14 Julai, Pan Xiaoting meninggal dunia semasa siaran langsung.
Punca rasmi kematiannya belum diumumkan, tetapi menurut laman berita China, Sohu, autopsi mendapati perutnya penuh dengan makanan yang tidak tercerna dan abdomennya mengalami kecacatan teruk. Kematian Pan kini dijadikan amaran bagi streamer mukbang lain yang mengorbankan kesihatan mereka demi wang dan perhatian.