Wanita Ini Mendapat Gaji Tanpa Bekerja Selama 20 Tahun

Seorang wanita Perancis, Laurence Van Wassenhove, telah mengambil tindakan mahkamah terhadap syarikat telekomunikasi gergasi Orange atas tuduhan "gangguan moral dan diskriminasi di tempat kerja". Dia mendakwa syarikat tersebut membayarnya selama 20 tahun tanpa memberinya sebarang Kerja.

Van Wassenhove mula bekerja dengan France Telecom sebagai penjawat awam pada tahun 1993 sebelum syarikat itu diambil alih oleh syarikat Orange. Majikan asalnya menyedari bahawa dia mengalami hemiplegia, iaitu lumpuh separuh pada muka dan anggota badan sejak lahir, serta menghidap epilepsi. Mereka menawarkan dia jawatan yang sesuai dengan keadaan kesihatannya. Dia bekerja sebagai setiausaha dan di jabatan sumber manusia (HR) sehingga tahun 2002, apabila dia meminta untuk dipindahkan ke kawasan lain di Perancis.

Permintaannya diluluskan, tetapi tempat kerja barunya tidak disesuaikan dengan keperluannya. Laporan perubatan pekerjaan mengesahkan bahawa jawatan itu tidak sesuai untuknya. Walaupun begitu, syarikat Orange didakwa gagal membuat sebarang penyesuaian terhadap pekerjaanya. Sebaliknya, mereka terus membayar gajinya, sepenuhnya selama 20 tahun tanpa memberinya sebarang pekerjaan (tugas).

Walaupun diabaikan oleh syarikat Orange, Van Wassenhove berusaha melaporkan situasi tersebut kepada pihak kerajaan dan Pihak Berkuasa Tinggi untuk Memerangi Diskriminasi. Pada tahun 2015, seorang mediator yang dilantik oleh syarikat Orange ditugaskan untuk menyelesaikan masalah ini, tetapi keadaan tidak berubah. Syarikat itu terus membayarnya tanpa memberikan sebarang tugas. Peguamnya mendakwa bahawa tindakan ini adalah usaha untuk memaksa Van Wassenhove berhenti kerja.

"Mereka lebih suka membayarnya daripada memberinya kerja," kata peguam Van Wassenhove. Wanita itu telah mengemukakan aduan terhadap syarikat dan empat pengurusnya atas tuduhan "gangguan moral dan diskriminasi di tempat kerja yang berkaitan dengan keadaan kesihatannya."

Peguam Van Wassenhove menegaskan bahawa bekerja adalah penting bagi seseorang yang mempunyai kecacatan kerana ia memberi mereka tempat dalam masyarakat, pengiktirafan, dan ikatan sosial. Dalam kes ini, Van Wassenhove dinafikan semua itu dengan "disisihkan" selama 20 tahun dengan harapan dia akan berhenti kerja.

Akhbar Perancis, La Dépêche, menghubungi syarikat Orange mengenai kes Van Wassenhove. Syarikat itu menyatakan bahawa mereka telah melakukan segala yang mungkin untuk memastikan wanita itu bekerja dalam keadaan terbaik. Mereka juga mendakwa telah mengambil kira "situasi sosial peribadi" wanita itu dan membayarnya gaji penuh secara berterusan. Syarikat itu juga merancang untuk memberinya jawatan yang disesuaikan, tetapi tidak pernah dilaksanakan kerana dia sering cuti sakit.

Sumber


1 Comments

Terima Kasih atas comment anda

Previous Post Next Post