3 Gambar Kanak-kanak Taska Teruja Melihat Lori Sampah

Setiap tengah hari semua kanak-kanak di sekolah taska ini akan berlari ke  sliding door dan menjerit "pak cik, terima kasih sambil melambai" Mereka sangat teruja melihat lori sampah yang lalu di depan sekolah task ini.

Dengan itu, cikgu yang dikenali sebagai Nur Syuhaida Ali atau lebih mesra dengan panggilan Syuhaida berusia 42, memberi peluang kepada anak murid mereka keluar dan duduk di tepi pagar untuk tengok lebih dekat lagi lori sampah yang lalu.

Menurut cikgu Syuhaida "Melihat reaksi teruja mereka, tercetus satu idea untuk latih mereka beri air kepada pekerja yang datang pungut sampah di kawasan taska.

"Kebetulan pagi Isnin lepas, lori sampah lalu di depan taska jadi kami terus panggil untuk beri minuman kepada mereka," ujarnya yang menguruskan Taska Nurul Ilmu bersama adiknya, Nurul Shafiqah.

Tambah Syuhaida, murid-murid dalam lingkungan usia satu hingga lima tahun itu kelihatan teruja ketika pertama kali memberi secawan air kepada pekerja perkhidmatan mengutip sampah itu yang sering ditunggu-tunggu mereka itu.

Keterujaan anak-anak muridnya membuatkan Syuhaida dan dua tenaga pengajar taska itu berhasrat meneruskan usaha itu sekurang-kurangnya sekali seminggu.

Anak-anak murid di taska yang mula beroperasi pada 2016 itu turut diberi pendedahan untuk lebih menghargai jasa dan menghormati pekerjaan orang lain.

Sementara itu, terdapat satu peristiwa membuatkan Syuhaida dan rakan lain terkedu dengan sikap pekerja-pekerja Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) yang lebih dikenali dengan gelaran Wira Oren itu.

"Masa minum tu, salah seorang daripada mereka cakap, 

"dik, belajar rajin ya... jangan jadi macam kami" 

membuatkan saya terkedu dan anak-anak murid pun terpinga-pinga sebab tak faham, saya terus jemput mereka minum.

"Memandangkan masa singkat je sebab pekerja MPSP kena sambung kerja, salah seorang anak murid ni teruja nak salam mereka tetapi dengan rendah diri mereka kata tangan busuk walaupun sebenarnya mereka pakai glove," kata anak jati Nibong Tebal itu.

Dalam pada itu, ibu kepada tiga cahaya mata itu turut memberitahu sudah menjadi tanggungjawabnya sebagai pengajar untuk mendidik anak murid seramai 23 orang supaya mempunyai nilai moral yang tinggi.

"Bagi saya, pembelajaran di peringkat taska tidak sepatutnya terlalu mengongkong anak-anak murid dengan hanya melakukan aktiviti sama sahaja seperti melukis dan mewarna.

"Mereka perlu didedahkan dengan aktiviti-aktiviti di luar kotak dan harus diterapkan nilai-nilai moral supaya menjadi contoh kepada orang lain.

"Saya dan dua pengajar yang lain mendidik mereka mengikut fitrah yang mereka suka tetapi taklah terlalu bebas," katanya.-sumber

Post a Comment

Terima Kasih atas comment anda

Previous Post Next Post