Kali ini, blog ohsenyum.com nak kongsikan
bersama, mengenai bagaimana Mahu Menjadikan Urusan Kahwin Itu Mudah?. Apabila
menyentuh soal perkahwinan, ramai golongan yang dikira layak untuk berkahwin
seperti merasakan ia agak sukar untuk dilaksanakan. Mungkin terpaksa berhadapan
dengan masalah wang hantaran yang semakin meningkat tinggi. Ataupun masih lagi
menganggap belum lagi bersedia melangkah ke alam rumah tangga. Banyak kisah
yang diriwayatkan oleh para sahabat tentang perkahwinan ini.
Pada suatu ketika seorang perempuan datang
berjumpa Nabi Muhammad SAW seraya berkata: “Wahai Rasulullah! Aku telah datang
untuk menyerahkan diriku kepadamu. Lalu Nabi SAW memandang kepadanya sambil
mendongak kepadanya dan memerhatikan dengan teliti kemudian…..
Baginda mengangguk-anggukkan kepalanya.
Apabila perempuan itu mendapati Nabi Muhammad
SAW diam tanpa memberi keputusan, perempuan itu segera duduk, lalu bangunlah
seorang sahabat dan berkata: “Wahai Rasulullah! Sekiranya kamu tidak ingin
mengahwininya, maka kahwinkanlah aku dengannya.”
Mas kahwin
Nabi SAW segera bertanya: “Adakah engkau
memiliki sesuatu yang boleh dijadikan mas kahwin. Sahabat menjawab: Tidak ada!
Nabi SAW bersabda: Pulanglah menemui keluargamu mencari sesuatu yang boleh
dijadikan mas kahwin.”
Lantas sahabat itu pulang, kemudian beliau
kembali menemui Nabi SAW dan berkata: “Demi Allah! Aku tidak menjumpai apa-apa
pun yang boleh dijadikan mas kahwin. Maka Nabi SAW bersabda lagi: Carilah
walaupun sebentuk cincin besi.”
Lalu sahabat itu pulang dan datang kembali
serta berkata: “Wahai Rasulullah! Demi Allah aku tidak menjumpai apa-apa
walaupun sebentuk cincin besi tetapi aku hanya memiliki kainku ini iaitu kain
yang hanya boleh menutupi bahagian bawah badannya.” (Sahabat ini tidak
mempunyai pakaian yang menutup bahagian atas badan).
Nabi SAW bersabda: “Apa yang engkau boleh
buat dengan kain engkau itu, sekiranya engkau memakai kain itu. Perempuan itu
tidak dapat memakainya walaupun sedikit. Apabila dia memakai kain itu engkau
tidak mempunyai apa-apa untuk dipakai.”
Sahabat itu duduk sehinggalah sekian lama
kemudian bangun. Nabi SAW memandang kepadanya seterusnya dia beredar dari situ.
Setelah itu Baginda SAW memerintahkan supaya dia dipanggil.
Apabila sahabat itu sampai, Nabi SAW
bertanya: “Apakah yang engkau miliki daripada al-Quran?”
Sahabat itu menjawab: “Aku hafaz surah itu
dan surah ini. Sahabat berkenaan menghitungnya, Nabi SAW bersabda lagi: Adakah
engkau membacanya secara hafalan? Sahabat tersebut menjawab: Ya! Nabi SAW
bersabda: Pergilah! Engkau telah memilikinya bermaskahwinkan ayat atau surah
al-Quran yang engkau hafaz.”
Perkahwinan adalah suatu ibadat dan sunnah
Rasulullah SAW yang juga penyelesaian terbaik terhadap tuntutan fitrah manusia
di samping mengatasi masalah sosial dalam masyarakat. Orang yang berkahwin dapat
mengatur kehidupan yang baik, sempurna dan penuh bertanggungjawab.
Firman Allah SWT bermaksud: “Antara tanda
kekuasaan-Nya ialah Dia (Allah) menciptakan pasangan (jodoh) bagi kamu daripada
(makhluk) jenis kamu sendiri, agar kamu cenderung kepadanya dan merasa tenteram
dengannya. Kemudian Allah menciptakan rasa kasih sayang di antara kamu.
Sesungguhnya dalam hal itu terdapat tanda-tanda kekuasaan-Nya bagi orang yang
berfikir.” (Surah al-Rum, ayat 21)
Perbanyakkan puasa sunat jika tak mampu
berkahwin
Islam menggalakkan umatnya yang tidak
mempunyai kemampuan berkahwin memperbanyakkan puasa sunat sebagai cara mengawal
nafsu.
Sabda Nabi SAW: “Wahai golongan pemuda!
Sesiapa daripada kalangan kamu yang mempunyai kemampuan, maka nikahlah.
Sesungguhnya dengan pernikahan itu akan menundukkan pandangan dan menjaga
kemaluan. Sesiapa yang tidak mampu maka berpuasalah kerana ia mampu
mengekang/mengawal syahwat.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Pada dasarnya, hukum perkahwinan yang
ditetapkan Islam adalah wajib kepada mereka yang berkemampuan dan mempunyai
nafsu yang kuat sehingga boleh menjerumuskan ke lembah maksiat.
Menurut pandangan Imam al-Nawawi dan Imam
al-Shafie, golongan pemuda yang sudah baligh dan belum mencapai usia 30 tahun,
kebiasaannya mempunyai nafsu yang tinggi, semangat yang kuat, tenaga yang
berlebihan dan ingin mencuba pelbagai perkara.
Maka sewajarnya, mereka yang berusia sebegini
diberi perhatian agar segera dan dipermudahkan urusan perkahwinan bagi mengelak
perkara yang tidak elok dan seharusnya diingati bahawa dasar hukum perkahwinan
yang ditetapkan Islam adalah tidak membebankan kepada sesiapa pun.
Sumber : Klik Sini
Tags:
info